Tidak ramai yang tahu malah mahu untuk bertanya tentang permasalahan fiqh di dalam perawatan pesakit di institusi perubatan. Ramai juga di kalangan orang muslim masih menganggap jika seseorang itu ditimpa kesakitan, maka masa itu untuk ‘cuti’ beribadah. Kesakitan dijadikan alasan sebagai halangan di dalam membuat kerja-kerja bersangkutan dengan ibadah.
Solat 5 waktu telah diwajibkan kepada setiap orang Islam dan tidak boleh ditinggalkan walaupun semasa sakit kecuali tidak sedarkan diri, hilang akal atau gila.
Solat wajib ditunaikan di dalam waktunya. Firman Allah SWT yang bermaksud:
"Sembahyang itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang-orang yang beriman yang tertentu waktunya"
(Surah An-Nisa : ayat 103)